Wednesday, 20 May 2015

MASJID UBUDIAH BUKIT CHANDAN

Ubudiah bermaksud pengabdian kepada Allah yang Maha Agung. Pada tahun 1911 ketika berehat di Port Dicksons setelah mendapat rawatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Murshidul Adzam Shah telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar sekiranya baginda pulih.


Setelah berangkat pulang ke Kuala Kangsar, Baginda menitahkan supaya Kolonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur menyediakan reka bentuk masjid itu. Tuan Hubback arkitek yang ditugaskan untuk menyediakan reka bentuknya telah menerapkan unsur-unsur seni bina Moor dalam reka bentuknya. Tuan Caulfield Jurutera Negeri ditugaskan untuk melaksanakan pembinaannya.


Kerja pembinaannya bermula pada  26 September 1913 tetapi tergendala disebabkan batu marmar asal yang diimport dari Itali telah dirosakkan oleh dua ekor gajah yang bertempur di tapak pembinaan masjid itu.Masjid ini hanya dapat disiapkan pada tahun 1917 dengan kos $189,000.00.Dukacita Baginda Sultan Idris tidak berkesempatan melihatnya kerana mangkat pada tahun 1916.




Pada tahun 1993 Jabatan Kerja Raya Negeri telah dipertanggungjawabkan untuk menambah keluasan masjid itu kerana tidak dapat menampung jemaahnya yang telah meningkat.Kerja ubahsuai ini melibatkan pembinaan bangunan tambahan di sisi bangunan kediaman, bilik air dan tempat wuduk.Kerja ubahsuai mengambil masa dua tahun dan menelan belanja sebanyak RM2.9 juta.


Kerja pembinaan itu telah mengambil langkah keselamatan yang perlu bagi memastikantan keaslian seni bina moor bangunan itu sentiasa dipelihara. Setelah siap masjid ini dapat menampung seramai 2,300 orang jemaah.


Pada tahun 2002 Paduka Seri Sultan Azlan Shah Sultan Perak ke 34 telah menitahkan supaya Kerajaan Negeri memulihara masjid ini ke tahap kegemilangan asalnya.Di bawah pengelolaan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Dato' Ir I. Dorairajoo, Ketua Arkitek Negeri Encik Shamsuri bin Mohamed telah mengendalikan reka bentuknya manakala Timbalan Pengarah JKR Negeri Encik Abdullah bin Abdul Rahman telah diberikan tanggungjawab pembinaannya.


Dalam masa pengubahsuaian itu segala usaha telah dibuat bagi mengekalkan kegemilangan dan keunikan seni bina moor nya .Dalam kerja pemuliharaan bangunan ini dewan sembahyang telah diberi sentuhan hiasan baru serta dilengkapi dengan sistem penyaman udara.Siling baru berukir yang dilakukan oleh sekumpulan pengukir mahir yang dibawa dari Uzbekistan.





Laman konkrit telah dibina di sekeliling masjid  dan persekitarannya pula dihiasi dengan seni taman yang baru yang mengambil kira semua aspek bangunan ini supaya sesuai dan harmoni.


Kerja pemuliharaan telah melibatkan 9 kontraktor yang berlainan dan siap dalam masa tiga bulan dengan kos sebanyak RM4.8 juta, iaitu tepat pada masa ulang tahun keputeraan Ke Bawah Duli Tuanku Ke 75 pada 19 April 2003. 


Bangunan Makam Di Raja


Skrip petikan dari papan tanda ini yang terdapat di perkarangan bahagian hadapan Masjid Ubudiah Bukit Chandan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...