Tuesday, 9 July 2019

PROJEK DIY 4 : BATU HIASAN

Terkenangkan batu hiasan refleksi yang dijual di nursery tanaman, Atuk mendapat idea untuk membuatnya sendiri dengan beberapa pengubahsuaian.Biasanya batu hiasan refleksi terdapat batu-batu kecil di atasnya bertujuan untuk dipijak dengan telapak kaki tanpa kasut sebagai urutan semula jadi. Namun rekaan Atuk jauh sedikit tujuannya, hanya sebagai hiasan bermotifkan dedaun.
 Kepingan zing terpakai Atuk potong dan cantum menjadi bentuk acuan dedaun.Kepingan zing ini berketinggian 3 cm dan panjangnya lebih kurang 40 cm seperti foto di bawah.

 Letakkan acuan zing itu di atas surat khabar dan seterusnya tuangkan bancuhan simen ke dalamnya.Sebaiknya terdapat campuran batu kerikil di dalam bancuhan simen tersebut agar ia kuat apabila mengering.

Taburkan serbuk simen ke atasnya dan ratakan supaya permukaan licin berseri.

 Tekapkan daun betik di atasnya dan tekan dengan jari.Supaya motif daun kekal, tindih daun dengan pemberat seperti kepingan mozek selama lebih kurang dua jam.

Sebelum simen mengering tanggalkan daun betik dari acuan, maka terhasillah bentuk yang dikehendaki.
Setelah kering kita cat dengan rata (undercoat) dengan warna terang(Atuk gunakan merah pudar).Diikuti dengan warna merah jambu.Atuk cat gunakan berus dengan menyentuh permukaan tidak berapa rata.Seterusnya Atuk cat bahagian tepi dengan merah hati di beberapa sudut sahaja.

Beginilah hasilnya.Letakkan di mana kita suka sebagai hiasan lanskap.Sungguhpun demikian Atuk tidak menjualnya, hanya sekadar perintang waktu.






Saturday, 6 July 2019

AIR TERJUN CHAMANG, BENTONG PAHANG

Air Terjun Chamang tidak jauh dari pekan Bentong kira-kira 9 km sahaja.Anda boleh menaiki kereka melalui jalan yang bengkang-bengkong dan parkir berhampiran dengan kawasan air terjun.
 Air yang bersih dan jernih menarik perhatian pengunjung sama ada dari dalam atau luar negeri. Pertama kali Atuk sampai di sini bersama keluarga dan kami terpesona dengan keindahan alam semula jadinya.

 Pada waktu ini aliran airnya tidak begitu deras dan sesuai untuk mandi-manda.
 

  Ada tanah cangkat yang disediakan beriadah dan barbeque.Keindahan dan kebersihan kawasan rekreasi ini nampak terurus dan dikawal selia oleh Majlis Perbandaran Bentong.



 Aliran air terjun dilihat dari jambatan gantung Air Terjun Chamang
 

 Cucu Atuk memang suka bermain air
 Tempat yang cetek agak luas juga, sesuai untuk kanak-kanak bermain air
 Yang berwarna agak gelap menunjukkan paras air yang dalam, sesuai untuk dewasa sahaja
 Secara kebetulan ada pula pertunjukan ular hijau (ulau daun) oleh penduduk tempatan
 Cucu Atuk ..Raisya Hanna empat tahun, tidak takut ular lalu dipegangnya

Air Terjun Chamang cantik sekali,
Di hutan Bentong ia tersembunyi;
Pelancong tertarik datang ke sini,
Deruan air nyaman tak terperi.

Thursday, 27 June 2019

SENI TEMBIKAR RANAU ,SABAH

Seni tembikar Sabah agak berbeza dari Semenanjung Malaysia.Jika tembikar Kampung Sayong Kuala Kangsar lebih bermotifkan flora (tumbuhan) akan tetapi tembikar Sabah dan Sarawak lebih bercirikan flora fauna dan budaya masyarakat pribumi
 Tanah liat setelah diacu...bercorak karangan laut

 Sebahagian hasil kraf dari tanah liat yang belum melalui proses pembakaran


 Identiti tembikar bagi kawasan Sabah dan Sarawak yang melambangkan budaya masyarakat pribumi di sini kelihatan cantik dan menyerlah berwarna- warni
 Tembikar Sabah hampir sama dengan tembikar Sarawak kerana mereka mempunyai budaya dan suku kaum yang hampir sama juga.

 Atuk memilih dua biji mug ini sebagai cenderahati kerana ia kecil, comel, tidak khuatir pecah dan mudah dibawa dalam penerbangan pulang.
 Cawan beserta lapiknya yang unik dan kreatif

 Pinggan dan dulang tembikar juga ada dihasilkan di sini .

 Cantik juga tembikar Sabah ini dalam set hitam.Hitam itu menawan


Saturday, 25 May 2019

INDAHNYA GUNUNG KINABALU

Gunung Kinabalu yang sudah dikenali ramai ini tingginya 4 095 meter dari paras laut.Ia tertetak di Banjaran Crocker Sabah dan merupakan gunung yang tertinggi di Kepulauan Borneo dan kelima di Asia Tenggara.Tragedi gempa bumi yang  berlaku pada 6  Jun 2015 di puncak gunung ini telah mengorbanka 19 nyawa termasuk 3 malim gunung. Kekuatan gempa bumi di masa itu adalah pada 6.0 sekala ritcher.
Sungguh cantik Gunung Kinabalu ;pandangan ketika berada di pasar Kundasang.Ramai pelancong yang singgah di sini untuk mengambil gambar kerana kawasan perhentian kenderaan yang luas sambil membeli belah.
 Antara buah-buahan tempatan yang dijual di pasar Kundasang ialah buah terap (tarap mngikut sebutan Sabah), sentol,kuini,nanas, langsat,tembikai, avocado dan strawberi.


Pandangan lebih jelas dari Zen Garden Resort, Kundasang
Pemandangan Gunung Kinabalu ketika diselubungi awan
 Bunga-bungaan penyeri alam

 Tidak lengkap perjalanan ke sini jika tidak singgah ke Taman Kinabalu.Di sinilah permulaan pendaki-pendaki yang ingin mendaki Gunung Kinabalu.

 Atuk tidak mendaki gunung ini kerana tiada persediaan, faktor usia dan kesihatan.Tugas mendaki perlu ada kekuatan ,stamina dan semangat yang tinggi.
 Paku gajah memang sinonim di sini, sesuai dengan suhu dan iklimnya.
Bersebelahan pejabat Taman Kinabalu ini ada pelantar untuk pengunjung berehat dan berswafoto
Kadangkala dalam perjalanan pergi dan pulang ke Taman Kinabalu ini kita akan bertembung dengan awan ; hingga pandangan kita kurang jelas kurang dari 50 meter.Berhati-hatilah memandu dan perlahankan kenderaan dan pasang lampu limpah.
 Sebahagian pemandangan yang indah di Banjaran Crocker.

 Sebagai kenangan Atuk dapatkan sijil ini dengan sedikit bayaran sebanyak RM5.00 dari pejabat Taman Kinabalu.Walaupun Atuk tak dapat mendaki puncak Kinabalu namun berada di kaki gunungnya pun jadilah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...